Guru (Pensyarah, Ustaz, Cikgu dan yang sama waktu dengannya) sebagaimana diketahui umum merupakan gelaran kepada manusia yang menurunkan ilmunya kepada manusia lain sama ada secara teori atau praktikal. Tetapi, cuba kita lihat pada masa kini. Pada pandangan anda, apakah guru itu hanya semata merupakan satu kerjaya atau kerana tebalnya semangat cintakan bangsa??
Persoalan yang sering bermain di minda saya apabila mendengarkan ada di antara manusia yang berkata, "Ala, kalau tak dapat kerja pun aku apply je guru." Agak terkilan apabila mendengarkan pada masa kini jawatan sebagai guru itu seolah menjadi pilihan terakhir dalam mencari pekerjaan. Malahan, secara tidak langsung mencerminkan bagaimana minda masyarakat kita sekarang yang memandang guru itu cukup rendah tarafnya.
Saya sendiri merasa bahawa ada SEGELINTIR guru yang menjalankan tugas sambil lewa iaitu sekadar memberikan ilmu semata tanpa cuba membantu pelajar yang memerlukan bantuan. Sebaliknya, jika ada pelajar yang lemah daya pemikirannya, segelintir guru pasti akan membenci pelajar berkenaan.
Pada saya, seorang guru yang berjiwa besar bukan sahaja membantu pelajar membangunkan diri ke arah kecemerlangan, malahan berusaha membentuk akhlak, minda, jiwa dan segala aspek lagi. Kita tidak seharusnya menyalahkan ibubapa sekira anak mereka berkelakuan tidak senonoh dan sebagainya. Guru juga perlu bertanggungjawab ke atas pelajar yang di didiknya. Saya memerhatikan adik saya sendiri, masih sekolah rendah. Dia lebih mempercayai kata-kata guru berbanding dengan kata ayah atau mak atau saya sendiri sebagai abangnya. Di sini kita dapat melihat betapa besarnya pengaruh guru itu pada diri seseorang pelajar.
Apa yang penting, guru kena mengenepikan soal gaji dan tanamkan sifat cintakan bangsa, agama dan negara. Semai kecintaan untuk menabur jasa dengan ilmu yang ada. Kemudian, sedar dengan diri, sedar teman, sedar ruang dan yang penting sedar Pencipta. InsyaAllah, impian untuk melihat Malaysia maju di masa akan datang pasti tercapai.
Selamat Menyambut Hari Guru
Teruskan Bakti Anda, Kerana Pada Anda Letaknya Masa Depan Negara, Agama Dan Bangsa
Terima Kasih, Guru...