Saturday, 25 April 2009

Kesumat


KESUMAT


Duduk aku mengelamun sendirian

Cahaya kelam jadi peneman

Mendongak mengalir airmata

Tiba tersingkap kisah itu

Membuat hatiku resah

Rasa pilu menusuk di jiwa


Inginku kembali semula

Membetulkan kesalahan ku

Tapi tiada dayaku menggapai masa itu

Ku terima segalanya atas dosa-dosa ku

Biarpun gentar tetap ku gagahinya


Tika melalui waktu itu

Tidak aku hiraukan mereka

Namun bila hati ku dibakar rasa

Api merah yang kesumat

Ku turutkan dendam yang membara

Ku Lepas segala kemarahan

Biar bebas segala yang tersimpan


Sejenak aku tersedar perbuatan ku

Namun segalanya telah terlambat


Oh Tuhan

Beri aku kekuatan iman

Menghadapi tali jerutan

Bertemu ajal tanpa rela


Biar kesumat ini berakhir disini

Jangan lagi nanti menenggelamkan hati

Siapa Kita Sekarang??! (Melayu Layu)

Siapa kita sekarang??!

Bagai menumpang di tanah sendiri

Maju dibelakang bukan di depan

Takut kekalahan

Gentar akan kesalahan

Minda ditutup hati dibuka

Lancang berkata lambat melaksana

Bangga dengan kejayaan

Alpa kemudiannya


Siapa kita sekarang??!

Suka membanding bukan mengambil

Suka hiburan tanpa pemikiran

Suka mengata tanpa bukti

Suka wang buat merewang

Suka hati lupakan natijah

Suka ampu minta simpati

Suka simpan benci menghulur


Siapa kita sekarang??!

Bangga diri tanpa syukuri

Lupa diri hanyut menjauh

Suka menyimpang cari yang mudah

Buat bodoh lagi sombong

Meninggi diri lupa yang bawah

Senang mengikut biarpun salah

Tinggalkan warisan kononnya kolot


Apa nak jadi dengan kita semua

Wahai Melayu yang semakin layu

Wednesday, 22 April 2009

Hari-hari Terakhir Seorang Mahasiswa

Duduk sendiri dibangku panjang
Merenung kanan dan kiri
Teringat akan peristiwa itu
Hati melayang entah ke mana
Fikiran berat dibayangi sejarah
Bibir tersenyum tanpa paksaan

Tiba ada yang menyapa
Hati jadi senang
Melihat sahabat yang mungkin tak akan lagi berjumpa
Tapi hati menjadi resah
Melihatkan wajah kedua
Tertanya aku sendirian ;
"Terlalu beratkah kelemahanku
Bukankah aku juga manusia sama seperti kamu?"

Mungkin ini suratan yang bakal aku tinggalkan
Pada hari-hari terakhir ku
Seorang mahasiswa...

Sunday, 19 April 2009

Dekon Kesumat


SINOPSIS DEKON KESUMAT


“Kesumat” mengisahkan tentang kisah silam seorang bekas penagih dadah yang kini telah dipenjarakan dan hanya menghitung hari untuk dijatuhkan hukuman gantung sampai mati diatas kesalahan membunuh.

Suria yang telah dilepaskan dari pusat serenti ternyata telah mengalami banyak perubahan pada dirinya. Sebaik sahaja dia pulang ke kampung halamannya, Kampung Dulang, Jariah, ibunya amat gembira melihatkan perubahan yang berlaku kepada anak tunggalnya itu. Pada masa yang sama, Syafika cukup mencemburui Suria yang disukai Hakimi. Syafika yang turut menyimpan perasaan terhadap Hakimi telah mengaturkan satu rancangan bagi menghilangkan rasa cinta dan sayang Hakimi terhadap Suria, sekaligus menghalaunya dari kampung itu.

Kejadian itu telah menyebabkan rasa kesumat menguasai hati Suria. Malahan, tindakan Suria atas reaksinya terhadap perbuatan fitnah Syafika itu telah membuatkan dia dipenjarakan dan hanya menghitung hari bagi menunggu hukuman mati.

“Biar KESUMAT ini, berakhir di sini, jangan lagi nanti menenggelamkan hati...”


*******


Sekalung Penghargaan buat semua krew yang telah terlibat bagi menjayakan Dekon Kesumat ini. AYIE, LEZA, SYIRA, ATIE, MELLEY, BIGOL, AMEDAH, SAMANTHA, ROY, ERA, ZULKHALIF, MESHMORO, ZIZI, PIE... U all da best. Kemenangan yang kita capai (Naib Johan & Skrip Terbaik) adalah kemenangan kita bersama. Thank u all.


Kepada rakan-rakan thn tiga teater (MEIJI, AS, SOPENG, SHA, SHIMA, OPI) yang juga mementaskan karya Dekon masing2, tahniah kerana akhirnya kita bersama-sama dapat menghidupkan kembali Dekon dipersada dunia teater yang seterusnya akn menjadi ikutan kepada junior2 kita.


Terima Kasih yang tidak terhingga kepada DR.ZAINAL ABD LATIFF kerana telah banyak mengajar saya ilmu kepengarahan yang cukup berkesan apabila saya gunakan kepada para pelakon saya. Juga tidak lupa kepada DR.ANDIKA AZIZ HUSIN yang banyak membimbing saya ke arah penghasilan dekon acuan UMS. Kepada EN.MURSALIN, terima kasih atas bimbingan dan cadangan yang diberikan bagi memantapkan lagi Dekon Kesumat ini.


Semoga Dekon ini akan terus diperkasakan pada masa akan datang...


"KE ARAH MEMPERKASAKAN DEKON"

Saturday, 18 April 2009

Aku Pejuang....

Ada orang berkata
Pejuang itu perlu ada senjatanya
Perlu gagah dan sasa penuh ilmu di dada
Bagaimana kalau aku katakan bahawa aku seorang pejuang?

Ada orang berkata
Pejuang itu hanyalah ada pada askar, bomba atau polis
Yang menjaga keselamatan negara dari ancaman musuh
Bagaimana kalau aku katakan bahawa aku seorang pejuang?

Apa kata aku...
Pejuang itu adalah kita semua
Yang bersama menjaga diri, agama, bangsa mahupun negara
Dari jatuh ke lubang gelap

Apa kata aku...
Aku juga adalah pejuang
Bersenjatakan pena dan ilmu
Biarpun tidak segagah perwira beruniform
Hanya sekadar tulisan tanpa nyawa

Friday, 17 April 2009

Sekadar Luahan...


Melihat sinar cahaya hening
Terkedu dibuai angin sepoi bahasa
Berlagu di telinga
Menusuk di jiwa
Menikam kalbu

Berdiri aku merasa segalanya
Terasa setiap anggota menjerit
Melaung keriangan
Tanpa ada rasa pilu
Tanpa ada rasa sangsi

Aku lihat taman itu
Penuh warna warni subur mekar bugaan
Menghijau
Melihat rerama bermain riang
Disambut kicau unggas berterbangan
Melihat air jernih mengalir lembut
Bagai mengajak aku mengikut alunnya

Hanya jika kau dapat melihat duniaku itu
Kau dan aku akan tenang bersama

Sunday, 5 April 2009

Kritikan : Suatu Cerminan Semula Diri Pengkritik
















Dalam bidang kritikan, kita boleh memberikan kepada dua pendekatan iaitu membina atau menjatuhkan. Ramai pengkritik mengatakan bahawa kritkan mereka adalah benar, malah tidak ramai atau kemungkinan tidak ada walau seorang pengkritik pun yang memohon maaf secara langsung sekiranya kritikan mereka itu tidak berasas. Dalam bidang kesenian, kritikan boleh dibuat daripada beberapa aspek iaitu artistik, isi atau mungkin nilai estetika.

Artistik didefinisikan sebagai sangat indah atau berasaskan nilai-nilai seni (Kamus Dewan edisi keempat,2005:79). Estetika pula bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep berkaitan dengan keindahan, cita rasa dll (Kamus Dewan edisi keempat,2005:401). Berdasarkan definisi tersebut, pengkritik seharusnya membuat satu cerminan diri terhadap sesuatu yang ingin dikritiknya. (Layakkah dirinya untuk mengkritik sesuatu tanpa membuat kajian terhadap nilai-nilai seni yang ditontonnya?)

Pengkritik seharusnya memegang prinsip “Sediakan payung sebelum hujan”. Maksudnya disini bukanlah bersedia dengan hujah lain sekiranya ada yang membidas, sebaliknya bersedia dengan huraian fakta kajian yang telah dibuat dalam mengkritik sesuatu karya orang lain. Jangan hanya mengkritik mengikut luahan hati, rasa atau perasaan. Seperti peribahasa Melayu, “Kerana mulut badan binasa” atau “Ikutkan hati, mati” .Bukanlah bermakna tidak boleh mengikut rasa, tetapi kritikan tanpa memahaminya terlebih dahulu sama seperti “Menghukum bunuh seseorang tanpa usul periksa”. Sebagai masyarakat yang boleh dikatakan tinggi adabnya, kenapa tidak kita tampil dengan berjumpa sendiri pencetusnya untuk memberikan pandangan pada sebelum persembahan berlangsung. Atau mungkin terdapat mereka yang terus bodoh sombong dalam mentafsir karya orang lain.

Sebagai seorang Muslim, kita ada contoh yang terbaik untuk diikuti. Rasulullah SAW mungkin terlalu payah untuk kita ikut, tetapi lihat para shabat Baginda. Segala kata-kata mereka adalah berlandaskan Al-Quran dan kata-kata Baginda sendiri (Hadis). Mengapa tidak kita, bercakap tentang sesuatu karya itu berdasarkan hukum ilmu. Mengapa perlu hati dijadikan sandaran? Jika hati menjadi sandaran, makanya kritikan itu menjadi satu luahan hati yang berunsurkan dengki, khianat disamping cuba mendatangkan sifat riak lagi takabur dalam diri sendiri. Bilakah masyarakat kita akan maju jika ilmu dibelakangkan sebaliknya hati menjadi dalang?

Sama-samalah kita mengambil iktibar, tidak kiralah sama ada dalam bidang seni atau sebagainya. Sebagai manusia, kita harus ada kesederan bahawa kita adalah lemah. Mengatakan tentang kelemahan orang lain maka samalah kita mengatakan tentang kelemahan sendiri. Kita perlu cermin diri, adakah ilmu telah cukup untuk kita memberitahu tentang kelemahan orang lain? Sejauhmanakah kehebatan diri?

Kita haruslah sedar diri, sedar teman, sedar ruang dan yang paling penting adalah sedar Pencipta. Segala yang kita peroleh di dunia ini adalah sementara. Jadilah seperti padi, makin berisi makin tunduk. Saya juga mengingatkan semula diri saya terhadap tulisan saya ini sekaligus mengambil kesedaran.

Wallahua’lam...