Sunday 5 April 2009

Kritikan : Suatu Cerminan Semula Diri Pengkritik
















Dalam bidang kritikan, kita boleh memberikan kepada dua pendekatan iaitu membina atau menjatuhkan. Ramai pengkritik mengatakan bahawa kritkan mereka adalah benar, malah tidak ramai atau kemungkinan tidak ada walau seorang pengkritik pun yang memohon maaf secara langsung sekiranya kritikan mereka itu tidak berasas. Dalam bidang kesenian, kritikan boleh dibuat daripada beberapa aspek iaitu artistik, isi atau mungkin nilai estetika.

Artistik didefinisikan sebagai sangat indah atau berasaskan nilai-nilai seni (Kamus Dewan edisi keempat,2005:79). Estetika pula bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep berkaitan dengan keindahan, cita rasa dll (Kamus Dewan edisi keempat,2005:401). Berdasarkan definisi tersebut, pengkritik seharusnya membuat satu cerminan diri terhadap sesuatu yang ingin dikritiknya. (Layakkah dirinya untuk mengkritik sesuatu tanpa membuat kajian terhadap nilai-nilai seni yang ditontonnya?)

Pengkritik seharusnya memegang prinsip “Sediakan payung sebelum hujan”. Maksudnya disini bukanlah bersedia dengan hujah lain sekiranya ada yang membidas, sebaliknya bersedia dengan huraian fakta kajian yang telah dibuat dalam mengkritik sesuatu karya orang lain. Jangan hanya mengkritik mengikut luahan hati, rasa atau perasaan. Seperti peribahasa Melayu, “Kerana mulut badan binasa” atau “Ikutkan hati, mati” .Bukanlah bermakna tidak boleh mengikut rasa, tetapi kritikan tanpa memahaminya terlebih dahulu sama seperti “Menghukum bunuh seseorang tanpa usul periksa”. Sebagai masyarakat yang boleh dikatakan tinggi adabnya, kenapa tidak kita tampil dengan berjumpa sendiri pencetusnya untuk memberikan pandangan pada sebelum persembahan berlangsung. Atau mungkin terdapat mereka yang terus bodoh sombong dalam mentafsir karya orang lain.

Sebagai seorang Muslim, kita ada contoh yang terbaik untuk diikuti. Rasulullah SAW mungkin terlalu payah untuk kita ikut, tetapi lihat para shabat Baginda. Segala kata-kata mereka adalah berlandaskan Al-Quran dan kata-kata Baginda sendiri (Hadis). Mengapa tidak kita, bercakap tentang sesuatu karya itu berdasarkan hukum ilmu. Mengapa perlu hati dijadikan sandaran? Jika hati menjadi sandaran, makanya kritikan itu menjadi satu luahan hati yang berunsurkan dengki, khianat disamping cuba mendatangkan sifat riak lagi takabur dalam diri sendiri. Bilakah masyarakat kita akan maju jika ilmu dibelakangkan sebaliknya hati menjadi dalang?

Sama-samalah kita mengambil iktibar, tidak kiralah sama ada dalam bidang seni atau sebagainya. Sebagai manusia, kita harus ada kesederan bahawa kita adalah lemah. Mengatakan tentang kelemahan orang lain maka samalah kita mengatakan tentang kelemahan sendiri. Kita perlu cermin diri, adakah ilmu telah cukup untuk kita memberitahu tentang kelemahan orang lain? Sejauhmanakah kehebatan diri?

Kita haruslah sedar diri, sedar teman, sedar ruang dan yang paling penting adalah sedar Pencipta. Segala yang kita peroleh di dunia ini adalah sementara. Jadilah seperti padi, makin berisi makin tunduk. Saya juga mengingatkan semula diri saya terhadap tulisan saya ini sekaligus mengambil kesedaran.

Wallahua’lam...

No comments:

Post a Comment