Sunday, 19 April 2009

Dekon Kesumat


SINOPSIS DEKON KESUMAT


“Kesumat” mengisahkan tentang kisah silam seorang bekas penagih dadah yang kini telah dipenjarakan dan hanya menghitung hari untuk dijatuhkan hukuman gantung sampai mati diatas kesalahan membunuh.

Suria yang telah dilepaskan dari pusat serenti ternyata telah mengalami banyak perubahan pada dirinya. Sebaik sahaja dia pulang ke kampung halamannya, Kampung Dulang, Jariah, ibunya amat gembira melihatkan perubahan yang berlaku kepada anak tunggalnya itu. Pada masa yang sama, Syafika cukup mencemburui Suria yang disukai Hakimi. Syafika yang turut menyimpan perasaan terhadap Hakimi telah mengaturkan satu rancangan bagi menghilangkan rasa cinta dan sayang Hakimi terhadap Suria, sekaligus menghalaunya dari kampung itu.

Kejadian itu telah menyebabkan rasa kesumat menguasai hati Suria. Malahan, tindakan Suria atas reaksinya terhadap perbuatan fitnah Syafika itu telah membuatkan dia dipenjarakan dan hanya menghitung hari bagi menunggu hukuman mati.

“Biar KESUMAT ini, berakhir di sini, jangan lagi nanti menenggelamkan hati...”


*******


Sekalung Penghargaan buat semua krew yang telah terlibat bagi menjayakan Dekon Kesumat ini. AYIE, LEZA, SYIRA, ATIE, MELLEY, BIGOL, AMEDAH, SAMANTHA, ROY, ERA, ZULKHALIF, MESHMORO, ZIZI, PIE... U all da best. Kemenangan yang kita capai (Naib Johan & Skrip Terbaik) adalah kemenangan kita bersama. Thank u all.


Kepada rakan-rakan thn tiga teater (MEIJI, AS, SOPENG, SHA, SHIMA, OPI) yang juga mementaskan karya Dekon masing2, tahniah kerana akhirnya kita bersama-sama dapat menghidupkan kembali Dekon dipersada dunia teater yang seterusnya akn menjadi ikutan kepada junior2 kita.


Terima Kasih yang tidak terhingga kepada DR.ZAINAL ABD LATIFF kerana telah banyak mengajar saya ilmu kepengarahan yang cukup berkesan apabila saya gunakan kepada para pelakon saya. Juga tidak lupa kepada DR.ANDIKA AZIZ HUSIN yang banyak membimbing saya ke arah penghasilan dekon acuan UMS. Kepada EN.MURSALIN, terima kasih atas bimbingan dan cadangan yang diberikan bagi memantapkan lagi Dekon Kesumat ini.


Semoga Dekon ini akan terus diperkasakan pada masa akan datang...


"KE ARAH MEMPERKASAKAN DEKON"

Saturday, 18 April 2009

Aku Pejuang....

Ada orang berkata
Pejuang itu perlu ada senjatanya
Perlu gagah dan sasa penuh ilmu di dada
Bagaimana kalau aku katakan bahawa aku seorang pejuang?

Ada orang berkata
Pejuang itu hanyalah ada pada askar, bomba atau polis
Yang menjaga keselamatan negara dari ancaman musuh
Bagaimana kalau aku katakan bahawa aku seorang pejuang?

Apa kata aku...
Pejuang itu adalah kita semua
Yang bersama menjaga diri, agama, bangsa mahupun negara
Dari jatuh ke lubang gelap

Apa kata aku...
Aku juga adalah pejuang
Bersenjatakan pena dan ilmu
Biarpun tidak segagah perwira beruniform
Hanya sekadar tulisan tanpa nyawa

Friday, 17 April 2009

Sekadar Luahan...


Melihat sinar cahaya hening
Terkedu dibuai angin sepoi bahasa
Berlagu di telinga
Menusuk di jiwa
Menikam kalbu

Berdiri aku merasa segalanya
Terasa setiap anggota menjerit
Melaung keriangan
Tanpa ada rasa pilu
Tanpa ada rasa sangsi

Aku lihat taman itu
Penuh warna warni subur mekar bugaan
Menghijau
Melihat rerama bermain riang
Disambut kicau unggas berterbangan
Melihat air jernih mengalir lembut
Bagai mengajak aku mengikut alunnya

Hanya jika kau dapat melihat duniaku itu
Kau dan aku akan tenang bersama

Sunday, 5 April 2009

Kritikan : Suatu Cerminan Semula Diri Pengkritik
















Dalam bidang kritikan, kita boleh memberikan kepada dua pendekatan iaitu membina atau menjatuhkan. Ramai pengkritik mengatakan bahawa kritkan mereka adalah benar, malah tidak ramai atau kemungkinan tidak ada walau seorang pengkritik pun yang memohon maaf secara langsung sekiranya kritikan mereka itu tidak berasas. Dalam bidang kesenian, kritikan boleh dibuat daripada beberapa aspek iaitu artistik, isi atau mungkin nilai estetika.

Artistik didefinisikan sebagai sangat indah atau berasaskan nilai-nilai seni (Kamus Dewan edisi keempat,2005:79). Estetika pula bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep berkaitan dengan keindahan, cita rasa dll (Kamus Dewan edisi keempat,2005:401). Berdasarkan definisi tersebut, pengkritik seharusnya membuat satu cerminan diri terhadap sesuatu yang ingin dikritiknya. (Layakkah dirinya untuk mengkritik sesuatu tanpa membuat kajian terhadap nilai-nilai seni yang ditontonnya?)

Pengkritik seharusnya memegang prinsip “Sediakan payung sebelum hujan”. Maksudnya disini bukanlah bersedia dengan hujah lain sekiranya ada yang membidas, sebaliknya bersedia dengan huraian fakta kajian yang telah dibuat dalam mengkritik sesuatu karya orang lain. Jangan hanya mengkritik mengikut luahan hati, rasa atau perasaan. Seperti peribahasa Melayu, “Kerana mulut badan binasa” atau “Ikutkan hati, mati” .Bukanlah bermakna tidak boleh mengikut rasa, tetapi kritikan tanpa memahaminya terlebih dahulu sama seperti “Menghukum bunuh seseorang tanpa usul periksa”. Sebagai masyarakat yang boleh dikatakan tinggi adabnya, kenapa tidak kita tampil dengan berjumpa sendiri pencetusnya untuk memberikan pandangan pada sebelum persembahan berlangsung. Atau mungkin terdapat mereka yang terus bodoh sombong dalam mentafsir karya orang lain.

Sebagai seorang Muslim, kita ada contoh yang terbaik untuk diikuti. Rasulullah SAW mungkin terlalu payah untuk kita ikut, tetapi lihat para shabat Baginda. Segala kata-kata mereka adalah berlandaskan Al-Quran dan kata-kata Baginda sendiri (Hadis). Mengapa tidak kita, bercakap tentang sesuatu karya itu berdasarkan hukum ilmu. Mengapa perlu hati dijadikan sandaran? Jika hati menjadi sandaran, makanya kritikan itu menjadi satu luahan hati yang berunsurkan dengki, khianat disamping cuba mendatangkan sifat riak lagi takabur dalam diri sendiri. Bilakah masyarakat kita akan maju jika ilmu dibelakangkan sebaliknya hati menjadi dalang?

Sama-samalah kita mengambil iktibar, tidak kiralah sama ada dalam bidang seni atau sebagainya. Sebagai manusia, kita harus ada kesederan bahawa kita adalah lemah. Mengatakan tentang kelemahan orang lain maka samalah kita mengatakan tentang kelemahan sendiri. Kita perlu cermin diri, adakah ilmu telah cukup untuk kita memberitahu tentang kelemahan orang lain? Sejauhmanakah kehebatan diri?

Kita haruslah sedar diri, sedar teman, sedar ruang dan yang paling penting adalah sedar Pencipta. Segala yang kita peroleh di dunia ini adalah sementara. Jadilah seperti padi, makin berisi makin tunduk. Saya juga mengingatkan semula diri saya terhadap tulisan saya ini sekaligus mengambil kesedaran.

Wallahua’lam...

Wednesday, 25 March 2009

Sejauhmanakah Teater Itu Boleh Memanusiakan Manusia?

Ramai dikalangan rakan-rakan saya yang menyebut bahawa teater memanusiakan manusia. Tetapi, sejauhmanakah kenyataan itu benar. Marilah sama-sama kita renung kembali diri kita terutamanya para penggiat teater di luar sana akan hal ini.

Bagaimanakah teater itu dikatakan memanusiakan manusia? Teater sebagaimana yang diketahui berasal daripada perkataan Greek iaitu Theatron. Di Eropah, pada awalnya teater ini wujud sebagai satu daripada cara spiritual yang diamalkan oleh masyarakat Greek bagi menghormati Dewa Dionysus pada abad ke-6 sebelum masihi. Dari situlah muncul tokoh-tokoh teater yang cukup tersohor seperti Sophocles, Euripedes, Aeschylus, Plato dan Aristotle. Kenyataan berikut menerangkan sedikit tentang Pesta Penyembahan Dionysus ini ;

"The theatre of Ancient Greece evolved from religious rites which date back to at least 1200 BC. At that time, Greece was peopled by tribes that we in our arrogance might label 'primitive'. In northern Greece, in an area called Thrace, a cult arose that worshipped Dionysus, the god of fertility and procreation. This Cult of Dionysus, which probably originated in Asia Minor, practised ritual celebrations which may have included alcoholic intoxication, orgies, human and animal sacrifices, and perhaps even hysterical rampages by women called maenads.

The cult's most controversial practice involved, it is believed, uninhibited dancing and emotional displays that created an altered mental state. This altered state was known as 'ecstasis', from which the word ecstasy is derived. Dionysiac, hysteria and 'catharsis' also derive from Greek words for emotional release or purification. Ecstasy was an important religious concept to the Greeks, who would come to see theatre as a way of releasing powerful emotions through its ritual power. Though it met with resistance, the cult spread south through the tribes of Greece over the ensuing six centuries. During this time, the rites of Dionysus became mainstream and more formalised and symbolic. The death of a tragic hero was offered up to god and man rather than the sacrifice of say, a goat. By 600 BC these ceremonies were practised in spring throughout much of Greece"

Jelas, pada ketika itu teater menjadi sebahagian daripada kepercayaan masyarakat Greek. Ini secara tidak langsung membuat mereka sedar akan hakikat kewujudan Tuhan mereka disamping patuh kepada Nya. Tidak hairanlah pada waktu itu muncul ramai tokoh pemikir yang cukup tersohor sebagaimana yang telah disebutkan pada perenggan sebelum ini. Boleh dikatakan, hati mereka dalam berkarya bukanlah semata untuk menunjukkan kehebatan tetapi untuk kepuasan Tuhan mereka iaitu Dionysus.

Mari kita sama-sama membawa diri kita semula kepada keadaan sekarang, bukan situasinya di Eropah tetapi di Malaysia. Cuba kita lontarkan persoalan, mengapa teater itu masih tidak berjaya mendidik krew mahupun pengarahnya untuk menjadi manusia? Serasanya tidak perlulah lagi saya memberikan contoh kepada persoalan itu. Cuma apa yang ingin saya tegaskan disini adalah aktiviti kesenian khusus ditujukan kepada teater perlu terlebih dahulu menyelidiki kehendak atau halatuju sesebuah pementasan yang ingin dibuat. Jika inginkan kemegahan, makanya tidak perlulah mengatakan dengan lantang bahawa TEATER ITU MEMANUSIAKAN MANUSIA.... Fikirkan, bagaimana penonton ingin mendapat mesej yang kononnya ingin disampaikan kepada mereka sedangkan ahli produksi itu sendiri terutamanya pengarah tidak ingin langsung mengambil iktibar daripada cerita yang dipentaskannya, sebaliknya melalaikan diri dengan dunia, sombong, riak lagi takabur. Ingatlah, sesungguhnya niat yang bersih itu akan mendapat petunjuk dari ALLAH S.W.T, namun celakalah bagi mereka yang berniat buruk terhadap sesuatu yang baik.

Kita seharusnya sedar akan diri, barulah kita akan sedar akan Pencipta, kemudian barulah datang kesedaran lain dalam diri kita. Disamping itu, saya juga mengingatkan diri saya yang sedang cuba mementaskan persembahan Dekon agar tidak terlalu inginkan kejayaan sebaliknya menyampaikan input kepada penonton yang hadir...

Wallahua'lam...

Tuesday, 24 March 2009

Bintang (Sempurna Nilai Mu)

Bintang
Sinarmu malap
Berkelip dari kejauhan
Menjadi pagar bulan di kala malam

Bintang
Biarpun dari kejauhan
Kau setia disisi purnama
Tidak pernah sekali kau membiarkan dia kesepian

Bintang
Usahlah kau cela dengan apa yang dibawah mu
Sedarlah kau wahai bintang
Cukup sempurna nilai mu
Biarpun hanya sekadar watu yang bercahaya

Monday, 2 March 2009

Aku Kecewa dengan Rakan Seperjuangan Teater Tahun Tiga UMS....

Hari ni aku curi masa sikit untuk luahkan perasaan aku. Aku betul2 kecewa dengan SEGELINTIR rakan (BUKAN SEMUA) seperjuangan aku. Aku dah cukup tahan sabar, tapi kenapa aku ni dilayan macam sampah. Aku ada perasaan, aku bukan robot atau benda yang bila disepak terajang takkan bagi sebarang tindakbalas. Terus terang, walaupun aku ni lelaki, tapi linangan jernih tetap membasahi pipi aku. Aku minta maaf kalau aku ada buat salah. Aku rasakan semester terakhir ni aku dapat bergembira dengan kawan-kawan yang mungkin takkan aku ketemu lagi lepas ni. Tapi, sebaliknya yang berlaku. Apapun terima kasih kawan, biarpun aku sedang tanggung sakit pedih ni sorang2, tapi aku masih mampu tersenyum. Aku tak minta simpati, tapi sekadar cukup hormat sebagaimana aku hormati korang semua....