Wednesday 4 February 2009

Coretan...

Masyarakat kita sekarang pastinya melihatkan kekuatan itu berdasarkan kepada kuantiti. Tetapi, adakah kenyataan itu benar? Pada aku, dari satu sudut pandangan memang ada benarnya kenyataan itu. Kekuatan itu berdasarkan kepada situasi sebenarnya, jika sesuatu kumpulan itu berada pada situasi yang betul pastinya kuantiti itu menjadi suatu kekuatan yang amat jitu. Misalannya, pada ketika undian bagi menduduki sesuatu jawatan atau merebut kuasa, kuantiti pengundi itu amatlah menjadi penentu kepada segalanya. Namun, ada juga sebaliknya dimana kualiti itu lebih diperlukan berbanding dengan kuantiti.

Tetapi jika kita berada pada mana2 situasi pun, jika tidak ada sebarang kesatuan makanya matlamat yang ingin dicapai itu pasti tidak akan kesampaian. Kualiti atau kuantiti tanpa kesatuan, agak sukar untuk mencapai matlamat akhirnya. Apakah yang sebenarnya perlu dibuat untuk menuju ke matlamat itu? Aku berfikir bahawa kesatuan itu dibina atas dasar hormat menghormati atau lebih senang aku menggunakan perkataan Inggerisnya iaitu "RESPECT". Cuba kita tinjau apakah itu makna sebenarnya hormat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hormat didefinisikan sebagai;

"Mempunyai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, takzim, khidmat"

Bagi aku, rasa hormat tu penting untuk mewujudkan kesatuan. Biarpun kita mempunyai kualiti, jika rasa hormat itu hilang, makanya secara perlahan kualiti itu juga akan hilang tanpa kita sedari.

Kesatuan boleh wujud sekiranya kita sesama manusia memahami hati, sikap, emosi dan kehendak seseorang. Jika ini dapat ditimbulkan, makanya secara bawah sedar kita akan melihat satu pembinaan ikatan ukhuwah yang sangat utuh. Jika diteliti akan hal ini, kefahaman seseorang terhadap manusia lain boleh menimbulkan rasa senang dan mengerti antara satu dengan lain. Sekiranya hal ini wujud pada setiap manusia, atau sekurang-kurang pada sesebuah kumpulan, InsyaAllah akan timbul rasa hormat pada hati masing-masing.

Namun, bukan mudah untuk mencapai tahap itu. Seseorang itu haruslah boleh membuang rasa ego, dengki, riak atau yang seumpama dengannya. Tetapi, itu juga sukar untuk dilakukan kerana sudah menjadi lumrah hidup manusia yang dijadikan dengan pemikiran dan nafsu yang berbeza.

Itu pandangan akulah, mungkin agak kabur untuk difahami atau susunan ayat aku tunggang langgang. Mungkin sebab dah mengantuk kot hehehe... Renung-renungkanlah, mana yang baik kita simpan dan kita kongsikan bersama. Sebarang yang buruk janganlah kita perkatakan, buang jauh-jauh dari hati sebelum hati kita diselubungi kehitamannya... YA-HA!!!!

No comments:

Post a Comment