Sunday 15 February 2009

Layakkah Seorang Pemimpin Berang Apabila Tanggungjawab Dipersoalkan...?

Sekiranya ada di antara anda merupakan seorang pemimpin tidak kiralah dalam sesebuah organisasi yang kecil atau besar, cuba tanya pada diri sendiri. Adakah anda layak untuk memegang jawatan itu?

Cuba kita tinjau masalah yang seringkali menampakkan kelemahan seseorang itu apabila menjadi pemimpin. Sebelum dilantik, pelbagai macam cara untuk menarik perhatian para pengundi atau penyokong melalui manifesto mereka. Apabila diajukan soalan berkenaan persediaan untuk memimpin, pastinya jawapan itu disambut dengan kata-kata "Ya, saya yakin saya akan dapat membawa perubahan". Tapi malangnya, api semangat itu hanyalah sementara. Boleh diandaikan seperti hangat-hangat tahi ayam. Lepas mendapat mandat dari penyokong atau pengundi, segalanya hilang. Manifesto entah ke mana, janji manis entah ke mana. Malahan, disuruhnya pula bersabar. Tapi sampai bilalah kan, esok lusa belum tentu ada untuk kita. Betul tak? Seharusnya, segala perkara yang menjadi manifestonya patut difikirkan sebelum mandat kepimpinan diberikan kepadanya, dan bukan selepas mendapat mandat.

Pada ketika inilah, apabila diajukan persoalan berkenaan sesuatu isu yang membingungkan atau rungutan tentang manifesto yang belum terlaksana, pastinya pemimpin tersebut akan melenting dengan jawapan yang berbaur sedikit emosi terhadap penyokong atau pengundi yang pernah dirayunya dulu agar memilih beliau sebagai pemimpin. Adakah ini sesuatu yang adil buat penyokong atau pengundi yang mungkin merupakan seorang rakan, sebangsa atau senegara dengannya?

Marilah sama-sama kita renungkan perkara ini. Bagi pemimpin yang beragama Islam, kita ada Baginda Rasulullah S.A.W. yang boleh dijadikan sebagai contoh dalam aspek kepimpinan. Sesungguhnya, Baginda merupakan pemimpin yang cukup sifat kepimpinannya. tanpa mengira kaum atau agama umat yang dipimpinnya Atau contoh pemimpin Islam lain seperti Saidina Umar R.A yang sangat mementingkan umat yang dipimpinnya daripada dirinya sendiri.

Kita harus sedar diri, sedar teman, sedar ruang, sedar gerak dan macam-macam lagi kesedaran agar kehidupan anda sentiasa dalam kesedaran dan bukannya penuh dengan kelekaan.

Bagi menjawab persoalan "Layakkah Seorang Pemimpin Berang Apabila Tanggungjawab Dipersoalkan...?", rasanya lebih molek kita tepuk dada, tanya selera masing-masing. Wallahua'lam...

4 comments:

  1. pemimpin perlu banyak kesabaran.

    ReplyDelete
  2. Itulah yang sepatutnya perlu ada pada diri seorang pemimpin.

    ReplyDelete
  3. Red Eyes - tulisan saudara saya perhatikan sangat baik dan banyak saya belajar daripada tulisan ini.

    ReplyDelete
  4. Saudara Muhammad Azli Shukri, tiada kata yang sesuai saya lafazkan melainkan terima kasih saya dari jauh. Semoga kita sentiasa sedar dan menyedarkan...

    ReplyDelete