Friday 1 May 2009

Festival Dekon UMS 2009 : Ke Arah Memperkasakan DEKON Oleh : Anuar H.S

PRODUKSI FLAGE yang membawa teks “Nasib” karya dan arahan Toh Soo Peng (dua dari kiri) menjadi johan pada penganjuran Festival Dekon UMS 2009 bergambar bersama Dekan Sekolah Pengajian Seni, Prof. Hj. Inon Shaharudin Abd Rahman (empat dari kiri) bersama Pengarah Festival Dekon UMS 2009 (Datu Ahmad Tharmizi Datu Ujad)


KOTA KINABALU : Pada 15 April 2009 yang lepas, Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah telah mengadakan Festival Dekon UMS 2009. Festival tersebut telah berlangsung di Dewan Resital, Sekolah Pengajian Seni. Festival Dekon ini diadakan bertujuan untuk menghidupkan kembali pementasan dekon yang telah terhenti sejak penganjuran Festival Dekon MAKUM pada tahun 2001 yang juga dianjurkan oleh UMS. Selain itu, penganjuran Dekon pada peringkat UMS ini diadakan adalah bagi memilih teks dekon yang terbaik untuk mewakili UMS ke Festival Dekon MAKUM yang akan diadakan pada bulan Mei depan.


Sebanyak 7 produksi telah menaruhkan karya dekon yang ditulis oleh pengarah sendiri. Antaranya “Akhir Pencarian Ini” (karya dan arahan Hasimah Abdullah), “Hidupku” (karya dan arahan Siti Engsyah Ahmad), “Ayah” (karya dan arahan Datu Ahmad Tharmizi Datu Ujad), “Sarah” (karya dan arahan Aspariah Asad), “Kesumat” (karya dan arahan Mohd Anuar Hashim Shah) dan “Angkara” (karya dan arahan Mohd Soffi Mislin). Setaip karya dekon yang telah dipersembahkan mempunyai kekuatan yang tersendiri disamping mesej yang cuba disampaikan kepada para penonton.


“Akhir Pencarian Ini” mengisahkan tentang seorang anak yang bernama Imran yang terlalu ingin berjumpa dengan ibunya semula. Namun tanpa disengajakan, Disebabkan terdesak untuk mencari ibunya, Imran telah meragut seorang wanita untuk mendapatkan wang. Tanpa diketahui, wanita yang diragutnya itu adalah ibu kandung Imran yang kemudiannya telah meninggal dunia akibat kejadian ragut tersebut.


“Hidupku” mengisahkan tentang perjalanan cinta Aiman yang penuh dengan halangan yang diterima daripada abang Syafika iaitu Zulfikar, Aiman sanggup melepaskan kekasihnya itu. Namun, Syafika tetap teguh dengan cintanya lalu melarikan diri untuk bersama dengan Aiman. Tetapi, Syafika kemudiannya telah ditimpa kemalangan lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.


“Ayah” mengisahkan tentang hidup seorang anak iaitu Wahid yang menyimpan rasa dendam kepada ayahnya sendiri. Wahid menganggap ayahnya terlalu kejam dengan menuduh maknya berlaku curang dengan perempuan lain. Demi kasih dan sayangnya terhadap mak yang tercinta, Wahid telah membunuh ayahnya yang disangka dapat membahagiakan maknya.


“Sarah” mengisahkan tentang seorang gadis yang cuba menyelesaikan masalah yang berlaku dalam keluarganya. Namun tanpa disedarinya, Sarah juga sepatutnya berubah terlebih dahulu sebelum dia ingin mengubah kehidupan saudaranya yang lain.


“Kesumat” mengisahkan tentang seorang gadis iaitu Suria yang merupakan seorang bekas penagih dadah. Namun, rasa cemburu yang tersemai dalam hati sahabat baiknya, Syafika kerana Hakimi yang menaruh perasaan terhadap Suria telah menyebabkan Syafika memfitnah Suria. Fitnah yang disebarkan telah menyebabkan mak Suria meninggal dunia. Peristiwa itu membuatkan rasa kesumat membara dihati Suria lalu membunuh Syafika.


“Nasib” mengisahkan tentang Mat, seorang pesakit mental akibat daripada peristiwa silamnya. Selepas ketiadaan ayah, Mat dan adik telah ditinggalkan oleh maknya di rumah atuk. Dibawah jagaan atuk, adik selalu didera sehinggakan adiknya meninggal dunia. Disebabkan itu, Mat yang dihantui rasa bersalah telah melarikan diri dan tidak lagi pulang ke rumah walaupun maknya meninggal dunia.


“Angkara” mengisahkan tentang Hafifi yang terlalu mengikut perasaan dalam bertindak. Disebabkan kecurangan kekasihnya yang kembali kepada teman lelaki lama dalam tempoh beberapa hari sebelum hari perkahwinan mereka, Hafifi telah bertindak membunuh keduanya.


Festival Dekon UMS 2009 telah berjaya mengangkat beberapa bakat baru dalam bidang lakonan mahupun kepengarahan. Antara anugerah yang disampaikan pada malam itu adalah Dekonis Harapan (dimenangi oleh Azrie, dekonis utama Akhir Pencarian Ini), Anugerah Khas Juri (dimenangi oleh “Angkara” karya dan arahan Mohd Soffi Mislin), Pengarah Harapan (dimenangi oleh Toh Soo Peng), Skrip Terbaik (dimenangi oleh Kesumat karya Mohd Anuar Hashim Shah), Tempat Ketiga (dimenangi oleh Akhir Pencarian Ini karya dan arahan Hasimah Abdullah), Naib Johan (dimenangi oleh Kesumat arahan dan karya Mohd Anuar Hashim Shah) dan Johan (dimenangi oleh Nasib karya dan arahan Toh Soo Peng).


Kesenian dekon ini sebenarnya telah lama wujud namun usaha untuk membangunkannya secara meluas masih lagi kurang. Secara kasarnya, dekon ini merupakan gabungan dua perkataan iaitu Deklamasi dan Lakon. Persembahan dekon ini telah dimulakan oleh Sasterawan Negara iaitu Dato’ A.Samad Said. Pada awalnya, dekon ini dipersembahkan oleh Dato’ A.Samad Said untuk memberikan kefahaman kepada pelajar sekolah mengenai novel beliau yang bertajuk Daerah Zeni. Menurut Dato’ A.Samad Said dalam buku Lazri Meon, “...saya fikirkan jalan terbaiknya ialah dengan saya membantu mereka menghayati novel ini secara lebih akrab melalui dekon. Dengan dekon, saya sendiri dapat menyampaikan semangat dan intisari kehidupan Daerah Zeni melalui dekalmasi dan lakon....”


Universiti Malaysia Sabah khususnya Sekolah Pengajian Seni kemudiannya telah mengambil inisiatif untuk memperkembangkan lagi penganjuran dekon ini di peringkat MAKUM IPTA yang telah dimulakan pada tahun 2001. Namun, penganjuran tersebut kemudiannya telah terhenti sehinggalah pada tahun ini persembahan dekon kembali dihidupkan dengan penganjuran Festival Dekon peringkat UMS. Terdapat beberapa ciri dekon yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian untuk dipertandingkan di peringkat MAKUM nanti. Antara yang utama adalah kesederhanaan dari aspek jumlah pelakon, masa pementasan, kostum dan cahaya.


Diharapkan dengan kejayaan penganjuran Festival Dekon UMS ini akan dapat menghidupkan kembali pementasan dekon itu sendiri dipersada seni persembahan. Usaha murni yang dilakukan oleh UMS khususnya Sekolah Pengajian Seni ini akan dapat menjadi contoh kepada agensi seni persembahan yang lain dalam memperkembangkan dekon ini yang masih baru dan segar. Ini seiring dengan tema yang digunakan bagi Festival Dekon UMS 2009 iaitu “Ke Arah Memperkasakan Dekon”.


(Artikel ini telah diterbitkan di akhbar Utusan Borneo bertarikh 28 April 2009 dengan tajuk "Festival UMS 2009 perkasakan Dekon")

1 comment:

  1. kalau ada sedutan video mungkin boleh dijadikan rujukan kepada mrk yg ingin memahami teknik Dekon itu.Tq

    ReplyDelete